Friday, September 10, 2021

Perginya seorang abah....

 


10.9.2021

Setiap yang hidup pasti akan mati.

Begitu juga dengan episod kehidupan kita.

Bak kata orang, bahagian kita masing-masing. Tidak penting siapa kita pada mulanya, tapi bagaimana cara kita berakhir, itulah yang lebih bermakna....

Dah lama tak menulis, sikit sebanyak ada janggal dan tepunya. Kali ini, secebis luahan rasa nak abadikan di sini sebagai satu kenangan untuk anak-anak manis mama kenang suatu masa nanti.

Dia,

Pertama kali bersua, nampak ketegasannya. Nampak ketrampilannya sebagai 'seseorang' ketika itu. Rasa gerun, gementar memang bersarang dan nampak jelas. Bagaimana aku cuba mengelak pun, dia juga yang akan aku berdepan. Sewaktu itu, penampilan aku bukanlah seperti sekarang. Agak janggal sebenarnya. Nampak kontra yang sangat ketara....Dia yang aku maksudkan adalah abah aka Allahyarham Datuk Haji Gapar Gurrohu.

Iya, arwah adalah bekas mertua. Yer, bekas ok. Not my mertua anymore. Yang sentiasa dipertikai oleh orang yang tidak tahu bagaimana pertalian kami.

Aku imbas sikit cerita kehidupan kami suatu ketika dulu.

Mula-mula aku masuk dalam family abah, memangla aku sorang jer yang lain. Pakaian aku memang ke laut dalam la masa tu. Abah pulak masa tu, dengan jawatannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara, Ketua Umno Bahagian, Biro Agama Negeri Johor dan macam-macam lagilah, sentiasa ada majlis keraian. Kadang-kadang, majlis yang tak official, arwah selalu bawak family. Cara abah, arwah  mendidik tanpa paksaan. Hampir setiap minggu, dia akan belikan selendang panjang untuk aku. Kain pasang. Yang aku ni, tak reti nak pakai tudung belit-belit. Masa tu trending tudung Wahida dan Wardina. Nyudahnya, aku sangkut jer kat bahu. Hihihi...

Tak lama lepas tu, dapat keja sebagai cikgu sandaran. Masa tu, terus arwah cakap. Kat Johor ni, majoriti cikgu kena pakai tudung. Hihi.. aku senyum. Ok abah. Malam tu jugak kami keluar, beli tudung bawal. Yang aku reti pakai dari dulu sampai sekarang memang tudung bawal jek. Hihi... Itu adalah langkah pertama aku bertudung yang aku rasa, takde paksaan dari sesiapa.

Lepas kawin, aku duduk dengan mertua. Lama. Kami serasi. Mungkin sebab, mertua aku tak ada anak perempuan. Tambah pula, anak sulung aku perempuan. Masa kakak manis lahir, diorang minta izin, nak jaga kakak manis waktu malam untuk bagi peluang aku rehat sepenuhnya ketika dalam pantang. Sampailah kakak manis ni membesar, lagi banyak masanya dengan atuk dan nenek berbanding dengan aku. Sehinggalah lahir arwah Iman. 

Kondisi Iman yang masa tu berkampung di hospital selama 33 hari. Tak pernah sekali abah tinggalkan aku. Aku berkampung di Hospital Sultanah Aminah JB. Abah dan mak sentiasa ada. Pokok pangkalnya, abah dan mak sentiasa ada. Ini cerita tentang abah yer. Jangan pulak nanti baca, Juwin ni asyik cakap pasal mertua, keluarga dia mana?.Aku sekeh korang nanti. Mak aku, keluarga aku sentiasa ada. sekarang yang aku nak tulis tentang aku dan abah. Ngerti?

Hayat Iman tak panjang. Saat Iman pergi juga, abah turut serta ada di IJN. Sama-sama berpeluang mendakap Iman saat-saat akhir Iman.

Bila aku pregnant kali ke-3. Abah tegas. Semua kerja aku tak boleh buat. Dia nak aku rehat dan berharap, semuanya akan selamat. Bila adik manis lahir, pastilah adik manis Sara ni jadi buah hati abah. Hantar pengasuh kat rumah Tok Mak pukul 10 pagi, 10.30 abah dah datang ambik. Hahah... Kadang-kadang, belum sempat antar ke rumah Tok Mak, mak abah akan call dulu nak ambik adik manis. Sampailah aku pikir, oklah. mak abah nak spend time dengan cucu-cucu. Seram juga. Sebab aku tak nak nanti orang cakap, aku suruh mak abah jaga cucu pulak. Last, mak abah suarakan. Nak jaga sepenuhnya adik manis. Masa tu adik manis dah nak masuk 3 tahun.

2016,rumahtangga aku dan anak abah hancur berderai. Hal ni aku tak nak imbas lagi. So, bermula hujung 2016, secara rasminya aku bukan lagi menantu kepada mak abah. Bukan lagi menantu kepada Datuk Haji Gapar dan Datin Safiah. Aku cukup jelas dengan hal ni. Selama aku jadi menantu mereka pun, aku tak pernah bawa tittle mereka di belakang nama aku. Aku tetap bawa nama penuh aku Juwin Salim. Cuma, Kluang ni bukan besar sangat. Ada yang tahu, tahulah. Ada yang tak tahu, memang tak tahu. Kalau orang politik dan kawan-kawan rapat mak abah, mungkin diorang tahu la siapa aku. Itu jer.

Aku memang rapat dengan mak abah sejak dulu. Duduk sekali bertahun-tahun. Sampailah selepas aku dan anak abah bercerai pun, mak abah dan aku masih sama. Mungkin juga faktor lokasi. Sebab aku masih lagi berada di bumi Kluang. Rezeki aku masih lagi di bumi Kluang sehingga sekarang. Rutin anak-anak manis tetap sama seperti dulu.

Kalau dulu, abah selalu perkenalkan aku, menantu. Tapi sejak hujung 2016, tittle itu telah pun bertukar. Abah sentiasa kenalkan aku, anak perempuannya. Ya, hubungan kami makin rapat. Setiap hari, abah akan call. Abah memang sangat close dengan kakak dan adik manis. Mungkin sebab dah pencen. Kehidupan mak abah diceriakan dengan keletah cucu-cucu.

PKP  fasa 1, 2020. Kami bertiga tersangkut di kampung. Waktu tu, cuti sekolah. Abah pula sudah mula ada tanda-tanda alzheimer. Setiap hari abah call, tanya bila nak balik. Pernah abah nak minta bantuan polis bawa kami bertiga balik Kluang. Itulah abah. Dia sentiasa mencari terutamanya adik manis. 

Adakalanya, abah akan bercerita macam-macam perkara. Kadang-kadang dia call, tolong bawa dia ke bandar. Tapi sebenarnya, dia hanya nak bercerita. Aku akan dengar segala apa yang abah sampaikan. Banyak. Keluar makan bersama, bercuti, kami sentiasa bersama. Semua tu kenangan kan.

Hujung tahun 2019, nak sambut 2020. Aku dengan team jalan-jalan cari makan ke Satun, Thailand. Abah dan mak nak ikut. Kali pertama, diorang ikut aku bercuti ke Thailand. Aku pulak lebih suka drive masuk Thailand. Sepanjang jalan, abah bercerita macam-macam sebab dia takut aku mengantuk. Aku drive sorang jer masa tu. Agak teruji ketika percutian itu, sebab abah tak biasa konvoi. Banyak prosedur. Abah biasanya ke luar negara sewaktu berkhidmat dulu dapat layanan VIP. Lepas pencen, kalau bercuti, ada travel agent. Ikut aku ke Thailand, aku jenis konvoi holiday koboi. Hahaha... Nyudahnya, aku yang kena amankan keadaan. Sebab waktu tu, aku kena jadi mama kepada anak-anak manis, anak kepada mak abah dan driver sepanjang perjalanan. Kejap ada yang nak makan, kejap ada yang nak gi tandas..Bila drive kat Thailand, sepenuhnya bergantung kepada map..manalah aku tau apa ada kat depan, jalan tu betul ke salah. Aku belasah ajelah. Yang penting, sampai ke destinasi. Abah membebel jer kat aku.Katanya Juwin ni perempuan, anak-anak pun perempuan. Jalan kat negara orang, ko belasah jer...Biasa ar... abah kadang over protected kat aku...Hihihi...

Last percutian tahun 2020, kat Teluk Buih. Percutian tahunan untuk kami sempena nak celebrate birthday adik manis. Memang laut sentiasa jadi pilihan kami, geng jalan-jalan cari makan. Waktu tu, abah dah ada alzheimer. Nampaklah kerisauan abah tu sangat ketara. Itu last percutian yang aku bawak abah. Selepas tu, abah dah tak ikut mana-mana lagi percutian. Yelah, dengan pkp  yang tak boleh rentas negeri atau daerah. Keadaan alzheimer abah yang semakin serius, tak memungkinkan aku boleh bawa abah ke mana-mana lagi.

Gitulah situasi aku dan mak abah. Walaupun dah bukan menantu. Aku ulang lagi ni. Bukan lagi menantu. Tapi kami lebih kepada keluarga. Cuma, biasalah. Ada masanya, aku kena sedar diri. Sebab aku bukan sesiapa lagi. Walaupun abah selalu mention, aku anak perempuan dia. Ada perkara yang aku kena limitkan. Yang faham, fahamlah. Aku tak boleh nak jelaskan panjang lebar. Nanti jadi salah faham.

Ramai yang mempersoalkan tentang kenapa mesti aku publish tentang kematian bekas mertua. Hanya bekas mertua. Bukan mertua lagi. Jawapannya, kerana dia tetap abah aku. Aku hanya publish tentang siapa abah dalam hidup aku selepas dia meninggal. Itu adalah penghargaan aku kepada abah kerana, dia adalah seorang insan yang terlalu baik untuk aku. Yang menerima aku seadanya sewaktu aku menjadi menantu dan mengangkat aku seperti anak perempuan di saat status aku bukan lagi menantunya. 

Ada hajat abah yang aku tak sempat tunaikan. Abah nak ikut aku balik ke kampung waktu hujung tahun 2020. Sebelum ni, mak abah hampir setiap tahun ikut aku balik kampung. Cuma waktu tu, aku elak bawa mereka atas faktor risiko Covid dan musim banjir memandangkan keadaan mak dan abah yang agak uzur ketika itu. Ya, itu hajatnya yang aku tak sempat tunaikan. 

Apapun, semalam 10.9.2021, abah pergi meninggalkan kami semua. Abah pergi pada hari lahir mak. Selamat hari lahir mak. Perginya mudah. Tanpa disangka. Tapi, siapa kita untuk menidakkan soal ajal dan maut.

Terima kasih abah. Untuk semua didikan, teguran dan kasih sayang untuk kami bertiga.

Semoga abah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.


Juwin

1038 hrs/11.9.2021