Sunday, July 3, 2022

Officially Sign in SKCC

Assalamualaikum... 
Semoga semuanya baik-baik sahaja. Alhamdulillah, baru sahaja menginjak ke usia 42 tahun. Jun 2022 bulan yang sangat sibuk. Apabila sop dilonggarkan untuk aktiviti-aktiviti di luar kelas, maka bertimpa-timpa program perlu dilaksanakan. 

Bahang kesibukan mula terasa sejak Mei 2022. tapi waktu tu, masih ada masa naik gunung petang-petang. Seperti yang dijadualkan, bermula dengan MSSZ aku memang sibuk. 30 Jun tu memang dan ditetapkan dalam takwim Kejohanan Olahraga Sekolah.Jadi, memang sibuk la dari kebiasaan. 26 Jun 2022 Hari tu kami ada Mesyuarat Agung PIBG. Bayangkan, sejak 2019 aku masuk SKSL aku belum pernah mesyuarat bersemuka. Tahun lepas Mesyuarat Agung PIBG dibuat secara online. So, kiranya nilah kali ke 2 aku berpeluang bersua dengan parents selepas Program Hari Anugerah Cemerlang tahun 2019 dulu.

Sekarang ni, kat sekolah memang sibuk. Rasa beban tugas tu makin melambak. Waktu aku ke kantin tu, tuan guru besar datang. Aku dan GPK HEM dipanggil ke PPD. Ada pergerakan. Masa tu dah berdebar. Sambil makan, kami bertiga berbual. Hal ni kami senyapkan dulu. Sampailah petang tu, waktu serahan surat. Aku diarahkan untuk bergerak ke SKCC dengan memegang portfolio baru iaitu sebagai GPK HEM. Beranjak selangkah. Alhamdulillah. SKCC pun makin dekat dengan rumah. Waktu tu, aku tak fikir apa lagi. Sampailah waktu aku nak masuk kereta, aku terus mesej penyelia petang SKCC. Kebetulan Kak Ina memang aku dah lama kenal. Kami sama-sama geng guru data suatu ketika dulu.

Hah, confirm! SKCC tahap satunya sesi petang. Aduhla, kepala aku terus berdenyut. Aku terus terbayang muka adik manis. Tak tau nak fikir nak buat macam mana. Aku start keta, aku nangis dulu. Mana aku nak letak adik manis. Nak bawak ke SKCC, takkan budak tu nak stay kat sekolah dari awal pagi. Nak hantar ke sekolah lain, siapa nak ambil waktu balik. Masa tu memang aku tak boleh fikir apa pun. Balik rumah, aku call 2-3 orang sahabat. Mintak pandangan. Lepas magrib aku ke rumah nenek budak-budak ni. Bincang dengan nenek dan papa diorang sekali. 

Alhamdulillah, dipermudahkan. Syukur sangat-sangat bila driver tu setuju untuk ambil adik manis. Selesai 1 perkara. Tapi masih banyak yang perlu diuruskan. 27 Jun 2022 hingga 29 Jun 2022 Hari ini kami mula sukantara. Pukul 9.30 pagi aku masih belum pergi lapor diri. Pengganti aku dan GPK HEM dah datang. Aku masih di padang. Sebelum pukul 10, aku gerak ke SKCC lapor diri dan sempat tinjau sekolah sekejap. Lepas tu aku bergegas ke STM2, untuk pergi bertanya tentang kekosongan. Minggu depan aku nak daftar adik manis.Petang tu juga, aku uruskan pertukaran sekolah agama. Petang tu jugaklah aku ke hulu ke hilir selesaikan beberapa urusan. Dengan kakak manis yang tak sihat. Bawak pergi klinik. Sambung selesaikan tugasan. Menjelang magrib baru aku balik ke rumah. Memang sangat hectic. 8.30 malam, letak jer kepala aku terus hanyut. Sangat penat. 

Semua urusan, nak diuruskan. Hal kerja, hal anak-anak, hal rumah, hal keluarga. Tegang tengkuk. Mak kat kampung pun tak sihat. Tuhan jer yang tahu apa aku rasa. Dah 2 minggu aku tak jejak kaki ke gunung. Badan pun rasa lemau. Tapi rasa tak mampu. Terlalu banyak yang nak diuruskan. Apatah lagi, saat akhir sebelum Kejohanan ujian datang melanda. Tuan guru besar diarahkan untuk hadir ke sesi bersama Pengarah. Tak boleh diwakilkan. Rasa ralat sungguh aku. Sebab itu adalah hari akhir aku di SKSL. Aku memang dah tak boleh tangguh lagi. Lepas tu 4 lagi cikgu terpaksa keluar. Rasa macam nak terduduk pitam. Tegang tengkuk jangan cakap.Stress. Bila kau ada event yang besar, yang memerlukan komitmen dari semua ahli team, waktu tu mereka diarahkan ke tempat lain pula. Stressnya tak boleh cakap. Waktu tu, cuma berharap semua orang bertahan dan alhamdulillah, mereka menunjukkan komitmen yang sangat padu. 

30 Jun 2022 Sungguh mencipta kenangan. Kejohanan Olahraga berjalan lancar. Allah permudahkan. Cuaca yang sangat berpihak kepada kami. Cikgu-cikgu semua bersemangat. Yang bertugas di luar pun sempat balik semula ke sekolah untuk sama-sama bergabung tenaga. Ya Allah, rasa terharu dan sangat-sangat berterima kasih. Di akhir program, diberi peluang untuk berucap sekali lagi secara spontan. Waktu tu, tak boleh berucap lama-lama. Hanya sepatah dua kata agar tidak kehilangan kata-kata dan tidak larut dalam emosi.Sedaya upaya, aku cuba mengawal emosi. 

30 Jun ni hari lahir kakak manis. Pagi tu, dia muram jer. Mungkin dia fikir, mama lupa hari lahirnya kerana terlalu sibuk. Tak kakak, mama tak lupa. Dalam kesibukan mama, mama dah booking candle light dinner sempena sweet 17. Mama dah booking tiket wayang movie Mat kilau.Hahaha. Mana mungkin mama lupakan hari penting kakak manis. 

Perasaan? 

Sebenarnya pergerakan ni umpama hadiah hari jadi la sebenarnya. Tarikh surat 16 Jun dan berkuatkuasa 19 Jun 2022. Cuma begitulah,peluang dalam kerjaya dipermudahkan namun Allah uji juga dengan sedikit ujian. Aku berlapang dada. Mungkin ujian ini untuk mengingatkan aku agar aku tidak leka. Ujian yang melibatkan anak-anak. Walau bagi orang lain mungkin ianya hanya masalah atau isu yang sangat kecil. Tapi tidak bagi aku. 

Aku dan papa diorang berpisah sewaktu adik manis baru nak 2 tahun. Kakak manis pula darjah 6 waktu tu. Bayangkan, kehidupan lengkap mereka berdua hilang sekelip mata. Kakak manis terpaksa tukar sekolah. Dan apa yang berlaku, semua di depan mata dia. Yang adik manis belum mengerti apa-apa. Waktu dia tadika, arwah atuk akan hantar sampai depan pagar dan akan tunggu sebelum pagar dibuka pada waktu balik. Bak kata dari tangan atuk ke tangan cikgu, dari tangan cikgu ke tangan atuk. Masuk darjah 1 pulak, memang aku terus angkut dengan aku. Jadi, dia memang tak pernah lepas dari tangan kami. 

Jadi, bila aku berdepan masalah begini, aku stuck sekejap. Perasaan nak lepaskan dia tanpa aku. Aku tak boleh nak bayangkan macam mana. Sebab kebergantungan dia pada aku sangat tinggi. Macam aku cakap, orang lain mungkin ketawa jer bila aku punya risau tahap malam-malam tegang tengkuk bila teringat hal ni. Itu dugaan aku. Aku yang rasa, aku yang lalu. Bawak diri dan pikul tanggungjawab dengan status ibu tunggal ni tak semudah yang orang nampak. Semua hal aku kena fikir dan hadap sorang-sorang. Apatah lagi dengan anak-anak yang masih bawah tanggungan aku. Aku kena sentiasa kuat untuk mereka berdua. 

Ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Aku masih ada ibu yang aku tinggalkan sorang diri kat kampung tu. Sakit pening dia, walaupun anak-anak jauh, kami masih perlu bertanggungjawab. Minggu ni, emosi, mental dan fizikal semua teruji. Dengan kesibukan kerja, urusan tukar sekolah adik manis, menguruskan kakak manis yang tak sihat dan dapat juga perkabaran mak aku pun tak sihat kat kampung. Rasa nak terduduk, tergolek semua ada.

Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya. Urusan pindah sekolah pagi mudah, sekolah agama mudah, kakak manis dan mak aku juga dah beransur sihat. Syukur sangat-sangat. Semoga semuanya kembali tenang dan damai. Untuk adik manis, aku cuma mampu berharap dan berdoa agar semuanya dalam kawalan dan sentiasa dalam LindunganNya. Sebagimana aku jaga anak-anak murid aku selama ini, begitu jugalah harapan aku agar adik manis sentiasa selamat dan dipermudahkan urusannya. Semoga adik manis gembira dengan persekitaran baharu, kawan-kawan baharu dan juga cikgu-cikgu baharu. 

Akhir kata, doakan aku sahabat-sahabat semua agar dipermudahkan perjalanan kehidupan aku. Agar aku mampu menggalas tugas baharu yang diamanahkan. Sekian, sampai ketemu lagi. 

3 Julai 2022, officially Sign in SKCC.

Friday, June 24, 2022

It's my birthday...

 17.6.2022

Mother of 3 kiddos

Syukur alhamdulillah. Masih bernafas di muka bumi ini menjalani kehidupan bersama anak-anak manis.

Rasa huru hara sekejap. Betapa lama tak sign in ke sini. Sampai lupa pasword. Hahaha...itulah mama, bak kata kakak manis. Mama yang sentiasa lupa password.

Rasa old school kan bila baca blog. Orang dah berubah ke zaman yang canggih-canggih, mama masih setia bersama blog.Takpela, blog ni sekadar tempat mama meluah sedikit rasa selain menulis kat mana-mana tempat lain. Macam diari ataupun album gambar. Masih ada jer orang yang menulis diari. Kepuasan tengok gambar tu lagi puas tengok gambar yang dicuci atau diprint out berbanding tengok kat screen. Tu bagi mama laa. Orang lain tak taulah.

Hari ini, dah 42 tahun aku berada di muka bumi ni. Dah macam-macam rasa pernah tempuh. Ada suka, ada duka. Biasalah, tak ada manusia yang tak ingin kesempurnaan. Tapi selagi kita bernama manusia, takkan ada yang sempurna.

Hingga Jun 2022, permohonan nak balik ke negeri kelahiran masih belum tercapai. Aku bersangka baik jer. Sesungguhnya aturan dariNya adalah yang terbaik. Cuma, sebagai makhluk bumi ni, memang terbitla rasa terkilan. Apa pun, semoga semuanya yang baik-baik mengiringi perjalanan hidup aku dimasa akan datang. Semoga segala apa yang aku dan keluarga aku rancang berjalan lancar. Kalau nak difikirkan, bagaimana nak teruskan kehidupan selepas itu,berat. Dan sampai bila-bila sentiasa ada rasa ketidakcukupan tu. Tapi, aku ambil kata-kata semangat dari sahabat aku, InsyaAllah. Sampai masanya, aku akan lalu juga walaupun mungkin untuk 2-3 tahun pertama tu aku rasa perit. Doakan yer, agar semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. 

Sejak SOP sudah dilonggarkan, aku memang sangatlah sibuk. Semua program harus dijalankan. Dah 2 tahun bercuti, sampai masanya kelam kabut nak ingat semula rutin dulu. Dah lama rasanya tak berjaga malam untuk siapkan kerja. Tapi, sekarang kembali semula ke alam begitu. Urusan kerja, anak-anak, rumah, diri sendiri semua nak difokuskan dalam satu masa. Tambah pulak kesihatan agak terganggu sejak sebelum puasa aritu. Sampai sekarang, masih on off. Tapi harapnya semakin ok la. Bila situasi dah mula kembali ke normal ni, rasa macam penatnya. Semua mende nak jalan dalam satu masa. Tangan ada dua jer. Kaki ada dua jer. Nasib baik, kalau membebel kat anak-anak tu, sentiasa bertenaga lagi. Hahahaa. Situasi sekarang memerlukan masa untuk jadi seperti biasa. Dia punya penat sekarang, letak kepala tak sempat berangan. Tangan pegang phone konon baru nak rehat-rehat tengok facebook atau IG, sekali phone jatuh atas muka pun tak sedar dah.

 Ini aku punya blog, tempat aku coretkan kenangan-kenangan pahit manis untuk anak-anak manis aku yer. Suatu masa nanti, diorang dah besar boleh recall semula apa yang kami lalui. Jangan pula ada yang beranggapan bercerita soal kesihatan semua ni macam nak minta simpati pulak. Susah nak bagi orang faham kehidupan kita. Cuma kalau tak mampu memahami, cukup sekadar bersangka baik sudah memadai.

Kita masing-masing ada kehidupan. Kehidupan setiap orang tak sama. Tak perlu bandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Keperluan dan kehendak kita berbeza. Ada orang memandang sinis bila aku sebut tentang bonding time dengan anak-anak. Itu cara aku. Ada masanya, memang aku nak luangkan masa dengan anak-anak aku . Itu bonding time kami bertiga atau berdua. Ada orang tak kisah pasal ni. Tu cara diorang. Jangan samakan orang dengan kita ...

Aku ni semua menda nak urus sendiri. Aku cuba jadi yang terbaik untuk anak-anak aku. Memang takkan sempurna, tapi sekurang-kurangnya aku cuba. Ada 1 peristiwa berlaku baru-baru ni. Perkara yang aku tak pernah terfikir. Sebab apa yang keluar dari mulut anak-anak aku, seboleh mungkin aku tunaikan. Samada cepat atau lambat. Tapi hanya kerana peristiwa RM 1, air mata aku luruh la waktu tu. Terus aku rasa, gagalnya aku untuk menyelami rasa hati anak aku. Walau aku dah buat all out untuk anak-anak aku, tapi masih ada part yang mereka tetap rasa kekurangan. Mungkin tak sengaja. Tanpa sedar bila seronok-seronok dengan kawan. Tapi bagi aku yang tak pernah mengajar anak-anak aku begitu, aku rasa terkesan. Rasa masih banyak perkara yang aku perlu belajar tentang ilmu parenting. Perlu belajar bagaimana hendak menjadi seorang ibu yang terbaik untuk anak-anak aku.

Jurang umur mereka jauh. Seorang sedang melalui fasa remaja. Lebih sesuai berdamping dengannya sebagai kawan tapi dia masih lagi menjaga rasa hormat kepada seorang ibu. Seorang lagi baru menjejaki alam persekolahan selepas membesar dalam rumah 2 tahun masa PKP aritu. Dia dalam fasa ingin tahu dan mencuba. Fasa berkawan. Jurang umur mereka yang jauh berbeza menyebabkan mereka sentiasa menang dalam kategori masing-masing. Mama? Mama yang harus bijak berada ditengah-tengah mereka.

Begitulah realitinya. Kekadang aku ni lost juga. Rasa penat yang amat. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang sentiasa membaca atau menadah telinga waktu aku call korang. Kekadang aku mesej malam-malam buta untuk bercerita tentang rasa. Part ni, aku ada beberapa kawan yang sentiasa ada bersama aku.Walau ada antaranya jauh dan jarang bersua, mereka sentiasa ada. Sememangnya korang sangat istimewa. Terima kasih tau. Sayang korang semua.

Ya ampun, nak menulis ni pun punyala ambik masa yang lama. Masa yang sentiasa terkejar-kejar. Kalau dulu, setakat satu cerpen kisah diri sendiri aku boleh tulis dalam masa sejam atau kurang sejam. Untuk draf pertamalaa. Sekarang, nak tulis blog ni pun sampai seminggu ambik masa. Hahaha...menulis kena ada mood. Bila penat, mood hilang menjauh. Bahasa pun tak gramatis. Hahaha...

Ni mood dah mula nak pergi. Masih ada banyak perkara yang belum selesai. Diusia 42 tahun ni, tak perlu dah sambutan atau hadiah-hadiah. Cukup sekadar, doakan yang baik-baik sudah. Moga kesihatan sentiasa baik. Ada dua amanah yang perlu dijaga hingga hujung nyawa. Sampai ketemu lagi.


Mama,

24/6/2022

Our bonding time


Friday, September 10, 2021

Perginya seorang abah....

 


10.9.2021

Setiap yang hidup pasti akan mati.

Begitu juga dengan episod kehidupan kita.

Bak kata orang, bahagian kita masing-masing. Tidak penting siapa kita pada mulanya, tapi bagaimana cara kita berakhir, itulah yang lebih bermakna....

Dah lama tak menulis, sikit sebanyak ada janggal dan tepunya. Kali ini, secebis luahan rasa nak abadikan di sini sebagai satu kenangan untuk anak-anak manis mama kenang suatu masa nanti.

Dia,

Pertama kali bersua, nampak ketegasannya. Nampak ketrampilannya sebagai 'seseorang' ketika itu. Rasa gerun, gementar memang bersarang dan nampak jelas. Bagaimana aku cuba mengelak pun, dia juga yang akan aku berdepan. Sewaktu itu, penampilan aku bukanlah seperti sekarang. Agak janggal sebenarnya. Nampak kontra yang sangat ketara....Dia yang aku maksudkan adalah abah aka Allahyarham Datuk Haji Gapar Gurrohu.

Iya, arwah adalah bekas mertua. Yer, bekas ok. Not my mertua anymore. Yang sentiasa dipertikai oleh orang yang tidak tahu bagaimana pertalian kami.

Aku imbas sikit cerita kehidupan kami suatu ketika dulu.

Mula-mula aku masuk dalam family abah, memangla aku sorang jer yang lain. Pakaian aku memang ke laut dalam la masa tu. Abah pulak masa tu, dengan jawatannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Negara, Ketua Umno Bahagian, Biro Agama Negeri Johor dan macam-macam lagilah, sentiasa ada majlis keraian. Kadang-kadang, majlis yang tak official, arwah selalu bawak family. Cara abah, arwah  mendidik tanpa paksaan. Hampir setiap minggu, dia akan belikan selendang panjang untuk aku. Kain pasang. Yang aku ni, tak reti nak pakai tudung belit-belit. Masa tu trending tudung Wahida dan Wardina. Nyudahnya, aku sangkut jer kat bahu. Hihihi...

Tak lama lepas tu, dapat keja sebagai cikgu sandaran. Masa tu, terus arwah cakap. Kat Johor ni, majoriti cikgu kena pakai tudung. Hihi.. aku senyum. Ok abah. Malam tu jugak kami keluar, beli tudung bawal. Yang aku reti pakai dari dulu sampai sekarang memang tudung bawal jek. Hihi... Itu adalah langkah pertama aku bertudung yang aku rasa, takde paksaan dari sesiapa.

Lepas kawin, aku duduk dengan mertua. Lama. Kami serasi. Mungkin sebab, mertua aku tak ada anak perempuan. Tambah pula, anak sulung aku perempuan. Masa kakak manis lahir, diorang minta izin, nak jaga kakak manis waktu malam untuk bagi peluang aku rehat sepenuhnya ketika dalam pantang. Sampailah kakak manis ni membesar, lagi banyak masanya dengan atuk dan nenek berbanding dengan aku. Sehinggalah lahir arwah Iman. 

Kondisi Iman yang masa tu berkampung di hospital selama 33 hari. Tak pernah sekali abah tinggalkan aku. Aku berkampung di Hospital Sultanah Aminah JB. Abah dan mak sentiasa ada. Pokok pangkalnya, abah dan mak sentiasa ada. Ini cerita tentang abah yer. Jangan pulak nanti baca, Juwin ni asyik cakap pasal mertua, keluarga dia mana?.Aku sekeh korang nanti. Mak aku, keluarga aku sentiasa ada. sekarang yang aku nak tulis tentang aku dan abah. Ngerti?

Hayat Iman tak panjang. Saat Iman pergi juga, abah turut serta ada di IJN. Sama-sama berpeluang mendakap Iman saat-saat akhir Iman.

Bila aku pregnant kali ke-3. Abah tegas. Semua kerja aku tak boleh buat. Dia nak aku rehat dan berharap, semuanya akan selamat. Bila adik manis lahir, pastilah adik manis Sara ni jadi buah hati abah. Hantar pengasuh kat rumah Tok Mak pukul 10 pagi, 10.30 abah dah datang ambik. Hahah... Kadang-kadang, belum sempat antar ke rumah Tok Mak, mak abah akan call dulu nak ambik adik manis. Sampailah aku pikir, oklah. mak abah nak spend time dengan cucu-cucu. Seram juga. Sebab aku tak nak nanti orang cakap, aku suruh mak abah jaga cucu pulak. Last, mak abah suarakan. Nak jaga sepenuhnya adik manis. Masa tu adik manis dah nak masuk 3 tahun.

2016,rumahtangga aku dan anak abah hancur berderai. Hal ni aku tak nak imbas lagi. So, bermula hujung 2016, secara rasminya aku bukan lagi menantu kepada mak abah. Bukan lagi menantu kepada Datuk Haji Gapar dan Datin Safiah. Aku cukup jelas dengan hal ni. Selama aku jadi menantu mereka pun, aku tak pernah bawa tittle mereka di belakang nama aku. Aku tetap bawa nama penuh aku Juwin Salim. Cuma, Kluang ni bukan besar sangat. Ada yang tahu, tahulah. Ada yang tak tahu, memang tak tahu. Kalau orang politik dan kawan-kawan rapat mak abah, mungkin diorang tahu la siapa aku. Itu jer.

Aku memang rapat dengan mak abah sejak dulu. Duduk sekali bertahun-tahun. Sampailah selepas aku dan anak abah bercerai pun, mak abah dan aku masih sama. Mungkin juga faktor lokasi. Sebab aku masih lagi berada di bumi Kluang. Rezeki aku masih lagi di bumi Kluang sehingga sekarang. Rutin anak-anak manis tetap sama seperti dulu.

Kalau dulu, abah selalu perkenalkan aku, menantu. Tapi sejak hujung 2016, tittle itu telah pun bertukar. Abah sentiasa kenalkan aku, anak perempuannya. Ya, hubungan kami makin rapat. Setiap hari, abah akan call. Abah memang sangat close dengan kakak dan adik manis. Mungkin sebab dah pencen. Kehidupan mak abah diceriakan dengan keletah cucu-cucu.

PKP  fasa 1, 2020. Kami bertiga tersangkut di kampung. Waktu tu, cuti sekolah. Abah pula sudah mula ada tanda-tanda alzheimer. Setiap hari abah call, tanya bila nak balik. Pernah abah nak minta bantuan polis bawa kami bertiga balik Kluang. Itulah abah. Dia sentiasa mencari terutamanya adik manis. 

Adakalanya, abah akan bercerita macam-macam perkara. Kadang-kadang dia call, tolong bawa dia ke bandar. Tapi sebenarnya, dia hanya nak bercerita. Aku akan dengar segala apa yang abah sampaikan. Banyak. Keluar makan bersama, bercuti, kami sentiasa bersama. Semua tu kenangan kan.

Hujung tahun 2019, nak sambut 2020. Aku dengan team jalan-jalan cari makan ke Satun, Thailand. Abah dan mak nak ikut. Kali pertama, diorang ikut aku bercuti ke Thailand. Aku pulak lebih suka drive masuk Thailand. Sepanjang jalan, abah bercerita macam-macam sebab dia takut aku mengantuk. Aku drive sorang jer masa tu. Agak teruji ketika percutian itu, sebab abah tak biasa konvoi. Banyak prosedur. Abah biasanya ke luar negara sewaktu berkhidmat dulu dapat layanan VIP. Lepas pencen, kalau bercuti, ada travel agent. Ikut aku ke Thailand, aku jenis konvoi holiday koboi. Hahaha... Nyudahnya, aku yang kena amankan keadaan. Sebab waktu tu, aku kena jadi mama kepada anak-anak manis, anak kepada mak abah dan driver sepanjang perjalanan. Kejap ada yang nak makan, kejap ada yang nak gi tandas..Bila drive kat Thailand, sepenuhnya bergantung kepada map..manalah aku tau apa ada kat depan, jalan tu betul ke salah. Aku belasah ajelah. Yang penting, sampai ke destinasi. Abah membebel jer kat aku.Katanya Juwin ni perempuan, anak-anak pun perempuan. Jalan kat negara orang, ko belasah jer...Biasa ar... abah kadang over protected kat aku...Hihihi...

Last percutian tahun 2020, kat Teluk Buih. Percutian tahunan untuk kami sempena nak celebrate birthday adik manis. Memang laut sentiasa jadi pilihan kami, geng jalan-jalan cari makan. Waktu tu, abah dah ada alzheimer. Nampaklah kerisauan abah tu sangat ketara. Itu last percutian yang aku bawak abah. Selepas tu, abah dah tak ikut mana-mana lagi percutian. Yelah, dengan pkp  yang tak boleh rentas negeri atau daerah. Keadaan alzheimer abah yang semakin serius, tak memungkinkan aku boleh bawa abah ke mana-mana lagi.

Gitulah situasi aku dan mak abah. Walaupun dah bukan menantu. Aku ulang lagi ni. Bukan lagi menantu. Tapi kami lebih kepada keluarga. Cuma, biasalah. Ada masanya, aku kena sedar diri. Sebab aku bukan sesiapa lagi. Walaupun abah selalu mention, aku anak perempuan dia. Ada perkara yang aku kena limitkan. Yang faham, fahamlah. Aku tak boleh nak jelaskan panjang lebar. Nanti jadi salah faham.

Ramai yang mempersoalkan tentang kenapa mesti aku publish tentang kematian bekas mertua. Hanya bekas mertua. Bukan mertua lagi. Jawapannya, kerana dia tetap abah aku. Aku hanya publish tentang siapa abah dalam hidup aku selepas dia meninggal. Itu adalah penghargaan aku kepada abah kerana, dia adalah seorang insan yang terlalu baik untuk aku. Yang menerima aku seadanya sewaktu aku menjadi menantu dan mengangkat aku seperti anak perempuan di saat status aku bukan lagi menantunya. 

Ada hajat abah yang aku tak sempat tunaikan. Abah nak ikut aku balik ke kampung waktu hujung tahun 2020. Sebelum ni, mak abah hampir setiap tahun ikut aku balik kampung. Cuma waktu tu, aku elak bawa mereka atas faktor risiko Covid dan musim banjir memandangkan keadaan mak dan abah yang agak uzur ketika itu. Ya, itu hajatnya yang aku tak sempat tunaikan. 

Apapun, semalam 10.9.2021, abah pergi meninggalkan kami semua. Abah pergi pada hari lahir mak. Selamat hari lahir mak. Perginya mudah. Tanpa disangka. Tapi, siapa kita untuk menidakkan soal ajal dan maut.

Terima kasih abah. Untuk semua didikan, teguran dan kasih sayang untuk kami bertiga.

Semoga abah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.


Juwin

1038 hrs/11.9.2021


Saturday, July 10, 2021

Get Your Life


Situasi sekarang semakin menghimpit segala rasa.
Terlalu mudah kita mengeluarkan segala kata, terlalu lancar di mulut  kerana terlalu menjadi kebiasaan diungkapkan. Tanpa sedar, perkataan itu menghiris hati dipihak lain.

Hanya kerana menurut rasa dihati
Bercakap tanpa fikir
Bertindak tanpa fikir
Yang tiada diadakan
Yang ada ditutup rapi

Kau
Yang masih hanyut dalam emosi
Semuanya mahu dihamburkan
Tanpa memandang kelemahan dan kesilapan sendiri
Hingga membutakan mata
Enggan melihat sebuah hakikat
Tetapi memilih untuk mendengar sebuah kisah yang ditokok tambah

Kau
Kau berjuang mempertahankan
Tapi kau lupa kelemahan diri
Yang hampir memusnahkan apa yang kau perjuangkan

Aku
Insan yang penuh dengan kekhilafan
Berjalan di atas takdir yang ditentukan
Nasib yang seringkali dipercaturkan
Berjuang sendiri
Tetapi tidak bermakna aku sendiri

Aku
Hanya sekadar angin lalu
Mungkin sekadar ujian
Untuk kau dan juga aku.

Kita
Tidak pernah wujud walau satu titik persamaan
Kau adalah kau
Aku adalah aku.

Juwin
11.7.2021
4.45 am



Friday, June 11, 2021

Penat

 30 Syawal 2021

Pejam celik, pejam celik. Tanpa sedar. Dah 30 Syawal hari ni. Syawal yang sentiasa ditunggu tapi tahun ini tak dapat raikan.

Kebelakangan ini, mama kalut nak siapkan artikel penulisan mama. Siang jadi malam, malam tetap malam. Terlangkup terbalik rasanya nak siapkan. Otak dah mula tumpul. Terlalu lama tinggalkan jurnal dan juga bahan ilmiah. Bila menulis, mama lebih fokus kepada penulisan santai. So, bila memerlukan mama fokus kepada penulisan ilmiah,mulalah ke laut dalam. Silap sendiri la tu kan. 

Dalam masa seminggu ni juga, mama menerima khabar duka. Dua sahabat dijemput Ilahi. Seorang sahabat sekolah. Terimbas kenangan, arwah seorang yang sangat tekun belajar. Kami sebilik waktu di asrama dulu. Banyak kenangan bersama. Sejak abis sekolah, mama tak pernah jumpa dia lagi. Tapi ada berhubung sesekali. Tahun 2019, mama ada beli beberapa barang dari arwah. Tahun 2020, mama order lagi, tapi takde stok masa tu. Mama pun tak ingat bila last conversation mama dengan arwah. Rasanya mama ada reply mesej dia tentang gambar. Sebab arwah pun minat dengan dunia fotographer ni. Seorang lagi, sahabat ataupun guru yang mengajar mama tentang ilmu overland. Kali pertama, mama ke Thailand drive keta tahun 2011 kalau tak silap mama. Arwahla yang banyak komgsi ilmu, beri tips sehinggalah mama join Mekong Expedition Trip Akhir Tahun 2012. Dua minggu travel, terlalu banyak ilmu yang dicurah. Hingga sekarang, walaupun jarang jumpa, tapi sentiasa jer komen-komen di media sosial. Hinggalah beberapa hari lepas, nampak Ggurl update tentang status arwah yang baru disahkan positif Covid. Belum reda, masuk hari ke 2, sebelum subuh mama ternampak posting tentang pemergian arwah. Allahu, sangat terkesan di hati. Seorang demi seorang, insan yang mama kenali pergi meninggalkan semua. Sampai masanya, bukan usia yang menjadi ukuran. Tak lambat walau sesaat, bila sampai waktunya, ianya tetap akan berlaku dan penyebabnya hanyalah asbab sahaja. Al-Fatihah untuk dua sahabat mama, semoga tenang di sana menemui Pencipta.

2021, dah hampir lima tahun dah mama berjalan sendiri. Ada suka, ada duka. Ada masanya mama tersepit dengan 1001 persoalan. Tepi kiri kanan, depan belakang sentiasa ada yang cuba menarik jatuh dan menghukum. Bukan mengeluh, tapi itulah realiti yang harus ditelan. Di saat mama hampir jatuh, mama berterima kasih kerana masih ada insan yang sentiasa ada untuk mama. U know who you are. 

Lima tahun, fasa kehidupan yang sentiasa ada pasang surut. Episod kehidupan yang hampir sama tapi situasi berbeza. Mama sendiri bosan. Buat baik pun jadi salah apatah lagi sebaliknya. Tak ramah dikata sombong, bila ramah lain pula cerita yang timbul. Serba salah dibuatnya. Yang nak menghukum, seronok bertepuk tangan.

Kita berjalan di atas takdir yang berbeza walau jalan cerita kita hampir sama. Hidup kita ni tak sama. Kalau semudah petik jari semua masalah boleh selesai, rasanya tak ada lagi masalah kat atas muka bumi ni kan. Semua settle. Tapi tulah, dugaan kita ni tak sama. Yang melihat, yang mendengar tak sama dengan orang yang melalui, yang kena telan semua tu. Hmmm, nak tulis pun rasa penat. Apatah lagi nak hadap. Mama rasa mama perlu fresh air. Perlu suasana baru. Bukan nak lari dari masalah. Tapi ada tanggungjawab yang wajib untuk mama tunaikan.Haish..susahla nak cakap. Salah tulis nanti, orang salah faham pulak.




Mama ni memangla anak yatim. Tiber. Tapi mama bukanlah sebatang kara. Banyak lagi kara-kara mama yang ada di mana-mana jer ni. Hahaha. Hadoi, serius ar. Penat weh. Dahla musim lockdown ni.Nak ke sana sini pun tak boleh. Nak balik kampung pun tak lepas. Tepu tahap nak menjerit rasanya. Pagi petang siang malam, ngadap dinding sambil buat keja. Tapi tak siap-siap jugak. Ni pdpr sambung lagi. Hadoi, makin berkecamuk tau. Nak settle keja, kursus, kelas online dan yang paling utama anak-anak manis mama ni. Doakanla mama mampu handle semua ni. Masalah-masalah tepi lagi, tu rencah kehidupan. Masam manis kehidupan insan yang bernama Juwin. Hahaha..

Buat sahabat-sahabat mama, yang sentiasa mendoakan mama terima kasih tau. Moga kalian juga sentiasa dalam rahmat Allah. Mama hanya manusia biasa, ada kalanya mama tetap ada khilaf sebagai manusia biasa. Tapi mama cuba, untuk jadi lebih baik dari semalam. Mama sentiasa cuba untuk kuat demi anak-anak manis mama.Sebab tu mama asyik makan dan makan. Supaya vitamin sentiasa fill up. Kikiki... Merapu dah ni...

Entahla, susah nak cakap. Mana yang tahu tu, tahulah. Tahu tak bermakna faham yer. Hidup saya, insyaAllah ada panduannya. Saya tak hidup menongkah arus. Saya hanya nak teruskan perjalanan hidup saya dengan anak-anak manis dan bonda saya.Doakan agar rezeki berpihak kepada saya untuk balik dan dapat peluang menunaikan tanggungjawab saya sebelum terlewat. Emm, nantilah. Sambung next entry. Penat perasaan menahan rasa. Menulis ni sekadar secebis luahan. Tak boleh luah semua. Nanti jadi lain ceritanya. Eh, tapi nak jugak tulis, rezeki, jodoh ajal maut di tangan Tuhan. Kita ni hanya merancang, tapi takdir kita dah tertulis. Semoga takdir perjalanan saya berakhir dengan 1001 kemanisan. Aminn..


Finally, mama is penat. Hahah..Jumpa lagi.

11 Jun 2021

1654



Sunday, April 18, 2021

Melangkah Lagi

 Assalamualaikum...

Mama yang masih old school...Hihi

Mana ada lagi orang menulis blog sekarang kan..Tapi, abaikanlah. Mama tetap mama. Blog ni catatan kehidupan yang mama simpan untuk anak-anak manis mama kenang suatu masa nanti.

Cuma, sekarang masa semakin mencemburui langkah kehidupan mama.Terlalu banyak perkara yang perlu mama cakup dengan kudrat yang ada.

Sebelum terlewat, selamat berpuasa anak-anak manis mama.

Tahun 2021, cabarannya berbeza. 

Ada suka, ada duka yang sentiasa mengiringi langkah. 

Kalau ikutkan hati, segalanya mungkin punah.

Jadi, mama sentiasa cuba mencari ruang untuk menjadi lebih baik dari semalam. Doakan. Terlalu banyak yang perli diperbaiki. Semoga ikhlas itu hadir tanpa rasa paksaan.

Sebetulnya, mama mengharapkan sesuatu yang lain. Tapi, tanpa mama sedar, ada ketikanya doa-doa dan pengharapan mama terjawab tepat pada waktu dan ketikanya.

Diketika mama sudah berhenti berharap untuk menyambung pengajian diperingkat Phd, mama terpilih untuk mengikuti kursus yang lain. Kursus yang ditawarkan bukanlah setaraf dengan Phd. Tapi nilai tambahnya sangat bermakna untuk kerjaya mama. Emm, lagi 20 tahun mama service kot. So, perlu sentiasa upgrade.

Alhamdulillah, ada juga hikmah situasi sekarang. Andai keadaan seperti biasa, mesti mama kalut kalau mama harus berada di IAB. Sedangkan adik bersekolah darjah 1 tahun ni. Urusan persekolahan mesti jadi lebih huru hara. Tapi, syukur. Banyak yang dipermudahkan. Semua bengkel dijalankan secara online.

Semoga, mama mampu habiskan kursus ni dengan sebaiknya.

Tentang kehidupan, emm..doakan yang baik-baik mengiringi mama dan anak-anak manis mama.

Jodoh, ajal dan maut...Tuhan yang tentukan.

Sampai ketemu lagi...

19.4.2021





Wednesday, January 20, 2021

Hello 2021!!!

 Hello 2021

Good bye 2020...


Makin lama makin tak ada masa nak update di sini. Malam ni, mama gagahkan diri. Idea yang semakin menghilang.


2020,

Biarlah berlalu bersama 1001 memori. 

Lumrah kehidupan,

Ada suka,

Ada duka,

Ada tawa,

Ada gembira,

Semuanya bersatu menjadi nyata...


2021,

Selamat datang another year.

Bersama 1001 impian

Agar impian itu bukan lagi mimpi

Walaupun di awal pembuka bicara 2021

Pelbagai episod dugaan melanda

Tapi,

Bukan perjalanan hidup yang berliku

Andai tiada episod-episod itu..

walaupun adakalanya, langkah terhenti seketika

Untuk menarik nafas..

Tatkala terasa sudah mampu menghela nafas

Langkah diteruskan lagi 

Menuju ke destinasi yang masih jauh...


Doakan semua yang baik mengiringi langkah perjalanan ini.

Juwin

21/01/2021

12:36 am





Tuesday, December 8, 2020

Tak suka, noktahkan!

 Sepi..

Mungkin terlalu sibuk hingga melupakan tempat ini, tempat untuk meluahkan segala rasa suatu ketika dulu.

Day by day..

Dah hampir penghujung 2020.

2020 yang menggamit pelbagai lakaran memori. Pandemik Covid-19 yang tidak kita jangka.Semuanya diluar kawalan kita. Hebat mana pun, siapa kita untuk menolak ketentuan yang telah ditetapkan.

4 tahun sudahpun berlalu. Sepanjang 4 tahun, pelbagai ragam manusia aku temui. Yang lawan, sudah tentu lawan. Ada sahabat yang sudahpun bertukar menjadi duri. Pengalaman itu mengajar aku untuk lebih berhati-hati dalam bersahabat.

Hidup aku mudah. Tak perlu rumitkan.

Suka, sama-sama jaga dan hargai nilai persahabatan.

Tak suka, end it. Noktahkan. Tak perlu simpan. Tak perlu buang masa untuk ambil tahu.

And the most important, avoid negative & toxic people!

Dalam bersahabat, give & take sangat penting.

Respect each other. Sebagaimana kita tak suka orang buat hal yang tak baik kat kita, sama la jugak. Kita pun kenalah jaga jangan buat kat orang. Mudah jer kan.

Aku dengan cara aku.

Kamu dengan cara kamu.

Untuk mereka-mereka yang seronok sangat bercakap. Emm, hidup kita banyak pilihan. Tapi perlu ingat, belum tentu apa yang kita pilih itu menjadi milik kita. Ujian dan dugaan kita tak sama. Ada lebih di sini, pasti ada kurang di sana. Takkan ada kesempurnaan.

Jangan terlalu seronok berjenaka dan mengeji.Jauh lagi perjalanan hidup kita ni. Kalau nak berlaku sesuatu, tak perlu tunggu esok. Sekelip mata pun boleh berlaku kalau itu kehendakNya. Tak mudah nak galas beban ni.Kalau anda-anda yang seronok sangat bercakap tu duduk di dalam kasut aku atau orang-orang yang seangkatan dengan aku,belum tentu anda-anda semua mampu galas. So, sebelum bercakap, fikir dulu yer.

Emm, malas lah nak sambung. 

Sendiri mau ingatlah.

Ooo cuma nak cakap, ada lagi 3 antologi bakal terbit.

#Pengat Labu Kasih Sayang#

#Apa Lagi Yang Lebih Membahagiakan Edisi Khas Covid-19#

#Aku bukan siapa-siapa#

Nantilah sambung. 

Penat.




Tuesday, September 29, 2020

My journey...


 Mereka,

Datang bertamu tanpa diundang

Datang membawa  harapan dan impian

Datang membawa secebis sinar yang kelam

Yang tak mampu untuk aku berpegang.


Aku,

Langkah semakin perlahan

Menuju ke destinasi yang belum pasti

Persimpangan yang terlalu banyak

Mungkin ada jalan yang lebih mudah

Namun tetap ada onak dan ranjau

Adakalanya, langkah terhenti seketika

Untuk aku merenung dan menoleh seketika

Bukan untuk meratap dan menyesali

Hanya sekadar memandang 

Agar aku tidak akan pernah melupakan 

Tempat di mana aku pernah jatuh

Diiringi dengan doa

Semoga perjalanan kali ini lebih tersusun indah

Biarpun jauh dan beronak

Yang perlu ditempuhi sebelum tiba ke destinasi akhir.



Happy Birthday My Adik Manis..Nur Sara Tihany..

 31 Ogos 2020


Happy birthday anak manis mama!

Semoga adik membesar dengan sihat dan bijak.

Semoga adik sentiasa dalam LindunganNya.

Doa mama untuk anak-anak mama takkan pernah terhenti selagi

mama bernafas di muka bumi ini.

Mama sayang both of u!




Monday, July 20, 2020

Warkah Untuk Iman

21 Julai 2011 - 21 Julai 2020


Happy birthday anak mama.
Al-Fatihah untuk anak mama.
Tunggu mama di Syurga ya sayang.



Iman,
Kita tidak sempat mencipta memori sebagaimana mama melakar memori bersama kakak Oya dan adik Sara. 
Tapi,
Moment Iman ketika menghuni di dalam rahim mama selama 9 bulan,
Moment Iman ketika di hospital selama 33 hari,
Sentiasa,
Kekal segar dalam ingatan mama sehingga hari ini.

Iman,
Saban tahun, silih berganti.
Yang mama ada hanya beberapa keping foto.
Yang hanya sempat dirakam sewaktu itu.
Tanpa jemu, mama sentiasa menatap foto-foto itu,
sebagaimana mama mencium dahi kakak Oya dan adik Sara sebelum tidur.
Mana mungkin, mama melupakan hero mama.
The only one!

Mama meneruskan langkah bersama kakak dan adik,
Ada ketikanya langkah mama perlahan,
Tapi semangat Iman sentiasa bersama mama..
Terima kasih kerana bersama mama selama 33 hari di muka bumi ini.
33 hari itu mengajar dan membentuk mama untuk tabah menghadapi "kehilangan."

Iman,
Biarpun kita tidak dapat bersama di dunia ini.
Namun, semangat dan jiwa Iman sentiasa bersama mama.
Rindu mama takkan pernah hilang...
Each and every day...


Rindu Yang Tak Pernah Padam,
Mama







Tuesday, July 7, 2020

Dedicate to Nur Sofia Batrisya...My Sweet 15

30 Jun 2020

Genap 15 tahun anak mama!
Doa mama sentiasa mengiringi setiap langkah kakak.
Adakala mama marah,
Adakala mama tegur,
Semua itu supaya anak mama belajar tentang kehidupan.



Tidak semua ilmu diajar di sekolah.
Ilmu ada di mana-mana.
Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita, jadikan pengajaran dan ilmu untuk kita jadikan panduan di masa akan datang.



Jangan sesekali menongkat langit walaupun setinggi mana kedudukan kakak.
Tidak rugi untuk kita sentiasa memandang ke bawah.
Biar kita dipandang rendah,
Asal kita tahu menjaga diri kita,
Seluruh kehidupan kita, hanya kita yang corakkan.
Rezeki dan ketentuan kita di tangan Tuhan.
Tetaplah sentiasa berdoa untuk satu kehidupan yang lebih baik.

Mama sayang kakak,
Forever!!

Monday, June 8, 2020

Review:Tuhan, Terima Kasihku Seluas Lazuardi

Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Batin

Alhamdulillah, masih bernafas dan diberi kesihatan yang baik meniti hari-hari kehidupan. Diam tak diam, sedar tak sedar dan hampir 3 bulan kitaran dan rutin kehidupan kita berubah kan? Bermula 18 Mac 2020, macam tak percaya, kita lalui semua ini di tahun 2020. PKP, PKPB dan sekarang PKPP. Semoga semuanya berakhir.


Dulu zaman sekolah, selalu bayangkan kehidupan kita ni dah berubah. Semua canggih-canggih. Semua computerized. Bukan kata sekarang tak canggih, tapi biasala, imaginasi di zaman kanak-kanak ribena.Terpengaruh dengan cerita mat salleh kat tv pun yer. Heheheh...

Masa awal-awal PKP, wahhh stress makcik. Sebab perancangan asal nak balik kampung 4 hari jer. Baju bawak terhad. Barang mainan adik pun tak bawak. Buku sekolah kakak adalah sikit. Sebab kakak nak PT3, so cuti sekolah memang banyak homework. Sekalinya, kena PKP dan PKPB, maka terperuklah kami kat kampung masa tu. Hahaha...Tapi alhamdulillah. Seronok. Anak-anak pun tak meragam. Mereka sangat memahami. Yang paling bersyukur, hikmah PKP, tahun ni dapat puasa penuh dengan bonda kat kampung. Allahu, moment yang sangat seronok dan membahagiakan. Sebab dari darjah 4, aku dah duduk luar. Kalau puasa, tak pernah dapat sambut puasa kat kampung. Balik kampung pun, dah hujung puasa. Dapatla berbuka sekali dua dengan bonda. Sekali tahun ni, dapat sambut puasa penuh kat kampung, seronok lain macam. Hahaha..



Ok, back to topic. Sepatutnya Antologi ni dilancarkan pada 28 Mac 2020. Dah siap semua dah persiapan. Cuma masa tu belum booking hotel jer nak pergi majlis pelancaran Antologi ni. Tapi hasrat tu tak kesampaian. Apa nak buat.Tak ada rezeki. Apa pun alhamdulillah, buku semua sold out dalam masa 3 jam publish kat Facebook. Malam tu jugak, top up stok dengan editor penyelaras Puan Sri Diah. Terima kasih mak. Dan yang top up tu pun sold out jugak malam tu. Jutaan terima kasih buat semua pembeli. Rata-rata mereka adalah sahabat handai yang sentiasa menyokong aku selama ini. Tq korang. Muahhhhh...

Oklah, ini sedikit review tentang cerpen aku. Korang kena faham yer. Buku tu adalah antologi. Himpunan cerpen-cerpen berdasarkan kisah hidup kami sendiri. Dan kisah itu adalah benar. Mungkin bagi yang sudah membaca, menganggap..Alah cerita biasa ajer. Tapi tidak bagi kami. Untuk buku Tuhan Terima Kasihku Seluas Lazuardi, konsepnya adalah untuk berterima kasih. Tak kiralah tentang apa. Ada orang, berterima kasih kerana laluan hidup mereka mudah. Namun, tak kurang juga ada yang berterima kasih kerana keperitan hidup itu menjadikan kehidupan mereka sekarang berada di tahap yang membanggakan. Kisah hidup kita mungkin sama, tapi jalan ceritanya berbeza.

Sebenarnya ini bukan kali pertama aku menulis. Dulu zaman universiti, aku menulis cerpen jugak. Tapi bukan kisah hidup.Khayalan semata-mata. Pernah jugak tersiap beberapa kali dalam majalah.Berbalik kepada cerpen aku yang bertajuk Terima Kasih Kelukaan. Ini adalah jalan cerita kehidupan aku. Peristiwa yang sangat penting. Peristiwa yang meninggalkan kenangan yang sangat pedih. Bukan untuk menceritakan tentang hal rumahtangga aku secara terbuka. Tapi lebih kepada satu perkongsian. Pandanglah dari sudut positif.

Bagi mereka yang dekat dengan aku, mereka tahu. Apa yang diceritakan dalam cerpen itu, itu adalah sudut pandangan yang sangat positif. Kerana, prinsip kami menulis kisah hidup bukan untuk mengaibkan pihak lain. Seboleh mungkin, kami akan positifkan kisah itu tapi masih mengekalkan kisah yang benar-benar berlaku tanpa mengubah jalan cerita.



Hanya mereka yang dekat dengan aku juga, tahu betapa peritnya situasi aku di waktu itu. Rumahtangga yang dibina hancur ranap dalam masa 2 minggu tanpa sebarang alasan yang kukuh. Ketika itu, rumahtangga kami berada dalam keadaan yang sangat baik. Banyak perkara kami sudah boleh bertolak ansur. Peringkat itu, kami lebih fokus untuk mencipta keluarga yang bahagia.
Emosi bercelaru. Perasaan bercampur baur. Berada di bumi Johor seorang diri dan berdepan dengan situasi yang benar-benar mencabar emosi aku ketika itu. Tuhan saja yang tahu. Hilang segala-galanya dalam sekelip mata tanpa ada sebarang signal. Kesilapan dan keegoan yang akhirnya menghancurkan segala apa yang kami bina bersama selama 14 tahun.Bayangkan...

Ada beberapa nama yang tercatat di dalam cerpen ini. Mohon kalian mengerti, tidak terlintas untuk mengaibkan kalian. Nama kalian tercatat kerana kalian pernah berada dalam kehidupan aku.

Mungkin kalian akan berkata, tu perkara biasa. Tapi tidak bagi aku...Jatuh, tersungkur dan 'lost'. Itu gambaran aku diketika itu. Tak mampu nak ungkap dengan kata-kata. Rakan-rakan terdekat menjadi saksi jatuh bangun aku ketika itu..Allah, kalau ingat semula, perit. sangat sukar untuk bangkit. Tapi hari ini, adakalanya ketika langkah lebih tersusun, aku berhenti seketika untuk menoleh ke belakang. Bukan untuk meratap pilu, tapi untuk berterima kasih di atas segala kelukaan itu. Kerananya, aku kembali berdiri dan melangkah. Dan aku menjadi seorang yang mampu menerima ketentuan ini dengan berlapang dada.

Biarpun sekarang, jalan cerita cerpen itu sudahpun berubah. Situasi yang harmoni itu tidak lagi seperti dulu. Namun, aku percaya, akan ada pelangi selepas hujan kan. Takdir yang telah tertulis dengan siapa kita berkawan, dengan siapa kita berjodoh. 

Akhir kata, jutaan terima kasih buat semua yang menyokong dan membeli antologi ini. Kami penulis-penulis dari BKH Skudai mengabdikan kisah kehidupan kami secara terbuka. Pandanglah dari sudut yang positif. Semoga perkongsian ini mampu menjadi iktibar dan panduan dalam kehidupan kalian semua. Doakanlah yang baik-baik mengiringi setiap langkah perjalananku bersama 2 permata hati aku.

Love,

Juwin
1133pm
8 Jun 2020

Sunday, March 1, 2020

Cerita 2020

Entry pertama di tahun 2020

2. 3. 2020

Makin tahun 2020, makin lemau menulis...hihihi...
Sentiasa teringat nak menulis, tapi kesibukan tu mengatasi segalanya...

2019 berlalu dengan 1001 cerita.
Betapa hebatnya dugaan yang melanda...tapi alhamdulillah..hingga hari ini...aku masih mampu berdiri..walaupun adakalanya rasa terlalu penat dan lelah..

Lumrah hidup, ada suka...ada duka..
begitu juga dengan insan-insan keliling kita...ada yang baru datang, ada juga yang berlalu pergi..
Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan kan?Dan perpisahan itu, memang menyakitkan walau ianya menjadi satu permulaan yang baik untuk seseorang..


2019
Aku mohon untuk berpindah balik ke Terengganu. Nekad.
Rasanya dah cukup lama aku di sini. Dah sampai masanya aku kembali ke negeri asal. Mungkin cara hidup takkan sama. Tapi itu yang paling terbaik untuk aku. Cuma, rezeki belum berpihak kepada aku. Entah bila baru aku dapat bertukar. Mohon doa semoga dipermudahkan yer.



Tak mudah sebenarnya nak buat keputusan mohon pindah. Mengenangkan corak kerja, kengkawan yang dah macam keluarga sendiri. Segala susah payah selama ini, mereka yang menyaksikan segalanya..Tapi bak aku kata tadi, ini yang terbaik.

Terima kasih untuk insan-insan yang sentiasa ada bersama aku. Tanpa kalian, aku tak mungkin berdiri seperti hari ini. Ada juga yang memberi pandangan, kehidupan aku nampak seperti biasa. Tiada yang kurang, nampak seperti sentiasa bahagia. Hahahha...

Hidup perlu diteruskan. Dah lama pun aku move on. Keputusan untuk mohon berpindah tu bukan sebab tak boleh move on. Kitaorang dah berpisah sejak akhir 2016. Sejak dulu lagi aku dah move on. Tapi adalah beberapa sebab yang menyebabkan aku buat keputusan untuk mohon berpindah balik ke Terengganu. Aku bahagia dengan cara aku. Memang kehidupan aku tak lengkap. Tapi alhamdulillah, segalanya masih ok. Berlapang dada dan sentiasa positif. InsyaAllah....Dan yang paling utama..Doa mak aku sentiasa mengiringi perjalanan hidup aku...Terima kasih bondaku...Dia salah satu sebab utama, aku nak pindah. Syurga aku di bawah tapak kakinya...



2020
Aku masih lagi mendaki seperti 2019. Cuma untuk trip luar aku kurangkan memandangkan tahun ni kakak Pia (nama baru...hahaha) nak ambik PT3. So, rutin naik Gunung Lambak jelah. Training seperti biasa. Nasib coach tetap sabar dengan aku..Sebab aku selalu jer nk skip training...Hahahha...Ampun yer coach...


Personal life?emmmm...masih belum ada kepastian. Hahahah..Rasa selesa jer begini buat masa sekarang. Nak suka orang atau orang suka kita memang mudah.Peringkat umur macam aku ni, rasanya dah tak sesuai dah nak bercinta bagai nak rak ni. Ia lebih kepada mencari teman hidup. Orang yang akan ada bersama kita di hari tua kita nanti.Tapi buat masa sekarang, aku fokus kepada anak-anak aku dulu. Soal teman hidup, ada jodoh, adelah...doa yang baik-baik.


Emm...sebenarnya tadi nak tulis mende lain. Tapi takpelah..Next time...ini intro 2020. Buat kawan seangkatan (single mom/single dad)...Sentiasalah berlapang dada dengan apa yang berlaku. Tak ada di antara kita yang inginkan status begini. Tapi siapa kita nak menidakkan takdir perjalanan kita. Setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Kadang-kadang pelangi yang hadir selepas hujan itu lebih cantik dan indah....

28.3.2020 nanti Cerpen pertama aku dilancarkan. Semoga lepas ni makin rajin menulis. Hahaha..Nanti update lain lah tentang cerpen.




Sampai jumpa lagi...Doa yang baik-baik.

Juwin
2.3.2020

Sunday, December 15, 2019

16 Dec 2016 - 16 Dec 2019

16 Dec 2016 - 16 Dec 2019



Sekejap jer masa berlalu. Pejam celik, dah 3 tahun aku menggalas gelaran ibu tunggal ni. Tak perlu aku nak selindung gelaran ini. Bukan untuk bangga, jauh sekali nak riak dengan gelaran yang paling ditakuti oleh kaum wanita ini. Tapi, inilah realiti kehidupan aku sejak 3 tahun yang lalu. Mungkin selama ini, sikap aku untuk tidak mengiyakan atau menafikan menjadi 1001 persoalan. Hingga sekarang, masih ada di kalangan kengkawan lama yang masih kabur dengan status aku.


3 tahun menggalas gelaran ini, aku berpeluang mengenali siapa kawan yang masih setia. Siapa kawan yang sekadar bertanya khabar untuk menambah pelbagai rencah rasa apabila bercerita. Hmmm, rasanya tak perlu buang masa kot. Aku bukan siapa-siapa. Tak ada kepentingan pun untuk korang bercerita. Yang aku nak sampaikan di sini adalah realiti kehidupan.

Ayat pertama yang aku boleh jelaskan, tak mudah nak lalui kehidupan ini dengan gelaran ibu tunggal atau bahasa mudahnya Janda. Tak ada siapa pun nak pegang gelaran ni. Tapi siapalah aku nak menolak ketentuan Ilahi. Yang mana, tanpa angin, tanpa ribut, akhirnya aku memegang gelaran itu. Kerana kuasa talak terletak di tangan suami. Cuma, kadang-kadang ada juga rasa terkilan, bila ada di kalangan isteri-isteri ni, kalau berbual, seolah-olah dia yakin yang sampai akhir hayat pun dia tetap bergelar isteri. Tanpa sebarang salah, menjatuhkan hukuman kepada golongan seperti kami. Sahabat sekalian, berulang kali aku katakan, tak ada wanita dalam dunia ni nak jadi janda. Tak ada. Tapi, ujian Tuhan itu datang dalam pelbagai bentuk. Hati kita, Allah yang pegang. Sekelip mata, Allah boleh balikkan hati kita. Tak perlu ada orang ketiga untuk sepasang suami isteri tu bercerai. Tapi kalau dah memang Tuhan tetapkan jodoh kita hingga setakat itu sahaja, macam-macam asbab boleh menyebabkan penceraian itu berlaku.

Realiti hidup, bila memegang gelaran ini, macam-macam perkara yang kita tak pernah duga akan berlaku. Terutama bila bab berkawan. Dunia sekarang dah moden. Bukan macam dulu. Duduk terperuk kat rumah meratap nasib. Hello, sekarang dunia dah berubah. Tak ada siapa nak kasi kita makan kalau tak bekerja. Kebanyakan ibu tunggal semuanya akan struggle bekerja untuk sara diri dan anak-anak. Mana yang bekas suami bertanggungjawab tu, bagusla. Tapi ramai jek yang hilang tanggungjawab tu nak-nak bila ada keluarga baru. Yang ni aku tak nak komen. Isu ni sensitif.


Dan sebagai manusia biasa, kadang-kadang kita perlu juga berkawan. Ada masanya, aku boleh urus semua benda. Cuma tulah, cakap-cakap orang kadang-kadang boleh buat kita ni tak tau nak bergerak ke depan ke, ke belakang ke, ke tengah ke, ke kiri ke, ke kanan ke, semuanya jadi salah.Alahai, dahtu, apa lagi aku nak buat? Rasanya belum pernah tahap mintak sedekah kot. Alhamdulillah, aku kerja. Aku boleh support diri aku ngan anak-anak. Cuma mungkin kami tak semewah orang lainlah. Dah memang setakat itu jer mampu aku. Yang penting, aku keja sendiri.

Dalam berkawan, semua jadi tak kena. Kalau berkawan dengan orang muda, nanti ada yang komen, tak sesuai. Kawan dengan duda, ish, jangan, banyak masalah nanti. Kawan dengan suami orang, boleh kene bom nanti. Hahahah... Hadoilaaa...Wahai saahabat sekalian..Kalaulah kita boleh pilih dengan siapa kita nak kawin, confirmlah kita nak yang terbaik jer dari semua segi kan. Nak rupa hensem, baik, kaya raya, keje bagus. Ala, macam drama yang korang suka tengok pukul 7 tu. Hahahha... Hello kak, tu drama. Ini realiti hidup. Ingat mudah ke nak pilih.?

Semua jadi tak kena bila kita bergelar ibu tunggal atau janda. Hmmm...entahla, kang ramai yang tak setuju dengan apa aku tulis ni. Tapi, macam nilah. Kalaulah kita boleh pilih dengan siapa kita nak bertemu, dengan siapa kita nak kawin, takkan ada cerai berai kat dunia ni. Perkahwinan tu satu perjudian. Pertaruhan kita untuk kekal hingga ke akhir hayat. Tapi, ada juga yang kecundang ditengah jalan macam aku. What to do, di luar kawalan aku. dan memang takdir aku begitu. Ada juga yang berjaya kekal bahagia hingga akhir hayat. Itu memang suatu yang sangat membahagiakan.

Isu sekarang sangat panas. Aku tak berani nak komen lebih-lebih. Terlalu sensitif.Apa pun yang berlaku, itu semua adalah kehendak Tuhan. Kalau Tuhan tak izinkan, takkan berlaku sesuatu perkara itu. Ia bergantung pada persepsi kita. Negatif anggapan kita, maka negatiflah jadinya. Positif anggapan kita, maka positiflah jadinya. Aku tak sokong hal ini. Tapi sekiranya ianya berlaku, biarlah ianya berlaku dalam keadaan yang baik dan harmoni. Tanpa ada sebarang sengketa. (positive mind). Cuma, selagi boleh elak, elaklah kot. Hahahha...


Sebenarnya macam takde mood nak menulis. Dah banyak kali type,delete,retype,delete...Kebosanan apakah itu. Hahahaha.... Hidup aku begini jer. Pergi kerja, balik kerja. Ada masa lapang, aku dengan anak-anak. Bila dah lama begitu, baru tahun ini, aku mula keluar dari zon itu. Aku kembali aktif dalam dunia hiking. Jumpa kengkawan baru. Kengkawan yang bukan berada di bidang yang sama. Kumpul pengalaman. Rasanya life sekarang much better kot.


So, ok. Sehingga jumpa lagi di masa akan datang. Mohon doakan yang baik-baik ajer. Apa yang berlaku telah pun berlaku. Dan apa yang akan berlaku, harap semuanya yang baik-baik.Terima kasih buat semua kengkawan yang sentiasa ada di saat jatuh bangun aku. Terima kasih juga buat mereka yang sentiasa mendoakan aku dalam diam. Semoga kalian semua sentiasa dalam Rahmat Tuhan. 




Juwin Salim
16.12.2019
9.00 am


Sunday, November 10, 2019

Gunung ku daki, lautan ku renangi....


" Rindu datang tak pernah tepat waktu, tapi dia tau waktu untuk bertemu"






Agar sukar nak memulakan penulisan kali ini. Terlalu banyak yang perlu diambil kira. Tapi, aku cuba semampu yang boleh. Khas untuk yang rindu dengan kisah perjalanan hidup aku. Hahahaha...

Apabila kita berada dalam situasi yang terlalu rumit, adakalanya kita akan terus terhimpit untuk mencari jalan keluar. Ke depan salah, ke belakang salah, ke kiri salah, ke kanan juga salah. Lalu, ke mana lagi arah yang perlu kita tuju untuk kita keluar dari kerumitan itu...

Bermula Jun 2019, kehidupan yang tenang mula berkocak. Segar dalam ingatan. Sebab masa tu hari jadi aku kan.Sebab tu segar dalam ingatan. Benar orang kata, dugaan hidup ni datang tanpa kita undang. Tanpa kita duga. Hampir 3 tahun, menjalani kehidupan sendiri, macam-macam perkara dan hal yang tak terduga berlaku. Kalau dulu, mungkin aku masih boleh terima apa yang berlaku. Ia berlaku di luar kawalan. Tapi tidak buat kali kedua.

Bila situasi agak tidak terkawal, perasaan jadi celaru. Terasa berat beban di bahu. Maka bermulalah episod, aku mencari ketenangan. Mungkin kalian akan berkata, sujudlah di sejadah untuk mencari ketenangan itu. Ya, itu aku tak nafikan. Dalam masa yang sama, aku tetap mencari arah. Ke mana aku nak tuju. Ada keputusan yang aku nekad. Biarpun aku terpaksa berdepan dengan situasi yang sangat berat untuk aku memilih. 

Bukan aku nak lari dari masalah atau sebarang kerumitan. Aku hanya manusia biasa yang masih ada hati, ada perasaan. Aku perlu ruang dan suasana yang positif. Aku perlu terus kuat untuk anak-anak aku. Aku tak boleh biarkan orang lain perkotak katikkan kehidupan aku. Jadi, aku nekad. Keluar dari ruang lingkup yang tertutup.

Bermula dengan satu iklan. Trip ke Gunung Tahan pada cuti Deepavali. Setelah timbal balik, aku nekad jer daftar. Dah 20 tahun aku tinggalkan dunia pergunungan ni. Terfikir tentang kudrat yang ada. Rasa macam tak mampu. Tapi bila fikir 2 kali, tiada yang mustahil kan. So, itu adalah misi Come Back After 20 years. Setelah 20 tahun gantung beg hiking. Rasa macam tak tau nak mula dari mana. Di situ bermula episod ikut trip suka-suka. Belum lagi training hiking.

Mula-mula nak ajar kakak berjinak-jinak dalam dunia hiking. Berangan nak ambik gambar kat Puncak Tahan dengan kakak. Tapi, percubaan pertama bawa dia ke Pulau Mawar dan Bukit Selantai tu, nampaknya dia belum sesuai. Mungkin belum terbuka hati dia kot.Hahahaa..Trip ke Pulau Mawar ni, aku ikut SAS Adventure. Sebab dah lama kenal dengan ownernya ni. Bekas anak didik.

Selepas trip Pulau Mawar, dah mula rasa nak buat come back. Dah mula rasa rindu dengan dunia outdoor. Join lagi trip Waterfall abselling kat Pelepah Kiri Kota Tinggi. Kali ni kakak tak ikut dah. Masa kat waterfall tu, line telefon memang tak ada. Elok jer keluar dari area hutan tu, bertalu-talu text masuk. Allahu, berbakul-bakul aku dapat 'habuan' masa tu. Bayangkan. Sangat penat otak aku aku nak hadam dengan situasi ketika itu. Sampai satu tahap aku pikir, whats next?....Aku ni siapa? Aku masih ada keluarga. Dan yang paling penting, aku tak merempat minta simpati sesiapa untuk teruskan kehidupan aku. Berkali-kali aku di arahkan untuk 'move on'. Tak perlu kot nak remind aku tentang 'move on. Dah lama aku lepaskan kehidupan dulu. Aku ada life aku sendiri.

Bertalu-talu sangat. Aku manusia biasa. Aku bekerja. Aku ada beban tugas yang perlu aku galas.So, aku penat nak pikir hal-hal yang tak sepatutnya.Balik Abselling, join pulak explore gua di Batu Maloi. Masa ni gamble ajer. Tak kenal sesiapa pun. Cuma pernah join sekali masa kat Pelepah kiri tu. Tapi team ni memang best. Rasa macam dah lama kenal. Dalam masa yang sama, training ke Gunung Tahan masih celup-celup. Sebab tak semua kawan suka hiking. Dan aku pulak sejenis manusia yang ada rasa takut nak hiking sorang-sorang walaupun Gunung Lambak tu sentiasa ada orang. Sesekali bila ada kengkawan yang free, sampailah aku kat Gunung Lambak tu.

Dari Gunung Lambak, beralih traning ke Gunung Pulai. Terima kasih Encik Farouk sebab jadi coach yang garang. Hahahaha....Ayat dia kalau masa latihan menikam kalbu. Rasa macam nak patah balik turun. Makan hati dengar. Hahahaha...Tapi dia baik. Hahaha

Entah macam mana, trip ke Gunung Tahan terpaksa dibatalkan atas masalah teknikal. Rasa frustnya. Sebab, ada 3 tempat yang aku teringin nak repeat n buat come back. Gunung Tahan, Kinabalu dan juga Stong/Ayam. 3 gunung ni sangat melekat di hati. Tapi, mungkin belum rezeki  nak jejakkan kaki. Oleh kerana tak nak mereput masa cuti Deepavali aritu, maka jelajahlah aku ke gunung-gunung yang agak familiar. Takla extreme sangat. Sesuai untuk aku yang baru nak berjinak balik. Dan juga dengan umur yang dan semakin senja.Sempatlah jejakkan kaki ke Taman Negara Endau Rompin. Terima kasih untuk sahabat lama yang invite trip ni. Kolan aka En.Khalid.

Balik dari Taman Negara, terus ke Puncak Datuk Pulak. Kali pertama sampai sini. Masa naik tu baru lepas hujan. Boleh tahan la jugak tracknya. Tapi view kat puncak cantik. Berkabus. Memang boleh buat jatuh cinta. Balik dari Gunung Datuk, kami terus menuju ke Tanjung Tuan. Cantik view kat Bukit Batu Putih tu..Hujung minggu seterusnya, last minit punya offer. Join trip Gunung Nuang. Nuang dan pernah naik dulu. Tapi serious, aku lupa tentang track ni. Hahahahha..mendapat sungguh. 15 jam termasuk rest dan lepak kat puncak. Turun tu memang pewai. Dengan hujannya dan
tak tido. Sampai Kem Lolo, aku dah mula seram sejuk. Tanda-tanda badan dah tua kot. Hahahaa...Demam terus masa tu. Huhuhu...Memang azam, tak nak repeat lagi Nuang. Kalau Datuk tu, mungkin. Sebab view memang cantik.

Dan semalam, penutup 2019 di Gunung Angsi. Track yang sangat sesuai la untuk beginner. View biasa ajer. Punyala ramai manusia kat atas tu. Dah macam ada shopping complex kat puncak. Hahaha.. Apa pun, itu semua kenangan. Misi come back yang berjaya bagi aku. Kenapa gunung?
Pendakian ni umpama kehidupan kita. Tak semua orang mampu mendaki. Tapi tak mustahil bagi mereka yang tak pernah putus asa. Ada masanya, aku rasa hampir give up. Terasa lelah, tiada kudrat dan kaki hampir tak dapat nak melangkah lagi. Tapi apa pilihan yang aku ada. Teruskan pendakian ataupun berpatah balik. Apa pun keputusan yang aku ambil, rintangan tetap ada. Kalau teruskan, kita tak tau apa akan berlaku disepanjang jalan itu. Rintangan apa lagi yang harus aku redah. Tapi sekiranya aku berjaya menawan hingga ke puncak, pastinya pemandangan di atas sana menggamit suasana damai. Tapi kalau aku buat keputusan untuk berpatah semula, rintangannya tetap ada. Risiko untuk jatuh sentiasa ada. Dan di bawah, aku tetap akan berdepan dengan dugaan yang sedia ada. Itulah yang dinamakan kehidupan.

Benar kata orang, mendaki gunung perlu jiwa. Kita pasti akan rindu saat itu. Untuk situasi aku yang masih dalam samar bayangan, doakan yang terbaik untuk kehidupan aku dan anak-anak selepas ini. 2020 bakal menjelma. Harapan tu memang nak teruskan mendaki. Tapi sebab kehidupan 2020 masih di awangan. Andai dapat bertukar ke Terengganu, nak mendaki, kena cari team baru. Andai pertukaran belum berpihak kepada aku, maka insyaAllah..aktiflah aku semula dalam dunia hiking ni. Bergantung pada kesihatan dan kemampuan. Itu cara aku keluar dari kerumitan dan keserabutan hidup aku. 

Malam ni, mood sedih dan sebak. Al-Fatihah untuk Adik Q..Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Usiamu masih muda. Tabahkanlah hati kedua orang tuamu untuk menerima takdir yang telah tercatat dalam perjalanan kehidupan mereka. Sehingga ketemu lagi dalam naskah akan datang.

Juwin
11.11.2019
12.11 am